![]() |
Penghijrahan Rasulullah saw dan para sahabat meniti sebuah perjalanan yang amat payah dan sukar. Lantas, wajarkah kita mahukan penghijrahan yang mudah dan selesa tanpa bersusah payah...? |
RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila
malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang berkhalwat di Gua
Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT
sebagai rasul untuk seluruh umat manusia.
Pada peringkat awal, Rasulullah hanya
memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila
baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka,
baginda segera akur.
Baginda mengumpul beberapa pengikut di
Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan
ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka
dengan teruk.
Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah
SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah
(ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka meninggalkan keluarga yang kafir
dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah.
![]() |
Perjuangan Rasullallah dan para sahabat yang berhijrah ke madinah adalah sesuatu yang sangat berharga dan perlu dicontohi umat islam zaman sekarang. |
Satu hari pada
tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah
SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan
Islam.
Rasulullah menunggu perintah daripada
Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya Allah SWT
mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan
itu, baginda menemui sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya
supaya menemani baginda dalam perjalanan itu.
Rasulullah juga memberitahu rancangan
baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya: "Saya akan
berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah." Ali (ra)
tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah (SAW) walaupun menyedari
bahaya bakal dihadapinya. Malam itu, sekumpulan Quraish mengepung rumah
Rasulullah (SAW).
Mengintai melalui lubang di pintu, mereka
nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah (SAW). Mereka begitu
yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh
baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (as) dan
bukannya Rasulullah (SAW) bangun dari katil itu.
Mereka terpinga-pinga memikirkan bila
Rasulullah (SAW) keluar dari rumah itu. Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as)
keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan
mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan
anak-anak Abu Bakr, Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.
Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr bersembunyi
dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga hari mereka berada dalam gua itu.
Apabila kaum Quraish menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah (SAW) tetapi
mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) tidak
berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang labah-labah
dan sepasang burung merpati.
Allah SWT membantu dua insan ini,
melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish kemudian meninggalkan gua
itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah
(SAW) dan Abu Bakr (as) meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh
orang gaji mereka, Abdullah.
Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan
tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu
Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi
mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada
Allah SWT. Sementara itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan
kehilangan Rasulullah (SAW). Mereka menawarkan hadih kepada sesiapa yang dapat
menangkap Rasulullah (SAW).
Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya
gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya
tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira. Setelah
sekian lama, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan
untuk masa depan. Ketika Rasulullah (SAW) dan sahabatnya dalam perjalanan,
penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita
mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.
Malah penduduk Madinah yang baru memeluk
Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya
Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang
tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal
bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba, sempadan
Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat
dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar. Kaum Muslimin
semua keluar untuk menyambut baginda.
Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW)
mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di
kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut
segala perintah Allah SWT.
![]() |
Pembinaan negara islam |
Kesan daripada penghijrahan Rasulullah
(SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam
menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar
Islam.
No comments:
Post a Comment