![]() |
Anak yang soleh punca bagi menimbulkan suasana bahagia dalam keluarga |
TANGGUNGJAWAB BERTERUSAN: Islam menganjurkan anak berbuat
baik kepada ibu bapa walaupun selepas mereka tiada.
ISLAM mendidik umatnya supaya menghormati dan berbuat baik
kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak kita
dilahirkan begitu besar dan tidak ternilai.
Pengorbanan ibu bapa dalam melayari bahtera rumah tangga
amatlah besar. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik anak
sejak kecil sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan kepentingan diri
dan mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak.
Sehubungan itu, anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat
baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak
dan membalas jasa ibu bapa mereka.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah
perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata
dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada
keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan
kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka,
tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan
hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih
sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku,
cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih
sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).
FirmanNya lagi yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia
berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan
menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah.
Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah
dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf ayat 15).
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Aku
pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama? Baginda bersabda:
Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda
bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi?
Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada
baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat
Muslim)
Sebenarnya kewajipan menghormati dan berbuat baik kepada ibu
bapa ini tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia saja. Bahkan walaupun
ibu bapa sudah tiada, anak dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan
Allah SWT. Selain itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka;
membayar hutang mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka.
Jelaslah menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama
dan berterusan sepanjang masa.
![]() |
Menghormati kedua ibubapa adalah satu perintah Allah s.w.t. |
Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada
ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau
tidak. Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan
berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya
yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT.
Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad
adalah seorang kafir kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu
hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, “Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat
baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku
mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).” (Riwayat Muslim).
Berikutan peristiwa ini, Allah SWT menurunkan ayat 8
daripada surah al-Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat
baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau
menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai
pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah
tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala
yang sudah kamu kerjakan.”
Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman
al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia
berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung
kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan
tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian)
bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah
tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu
supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal
fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada
mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan
orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih).
Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan
kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15).
Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa dianjurkan Islam.
Hormati dan berbuat baik kepada ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak
melanggari syariat Islam.
Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa
termasuk dalam kategori dosa besar. Jika menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’
dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak
mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a
katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Antara dosa besar ialah seorang
lelaki mencerca ibu bapanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan
berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?
Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki
memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali
bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki
lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah SAW menganggap menderhaka kepada ibu bapa sebagai
dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya:
Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang
bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan
berkata dengan kata palsu.” (Riwayat Muslim)
Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang
menderhaka ibu bapanya. Satunya ialah peristiwa menimpa Alqamah. Alqamah
seorang sahabat yang kuat beribadah kepada Allah SWT, tidak dapat melafazkan
kalimah tauhid pada saat kematiannya. Alqamah pernah melakukan perbuatan
mengguris hati ibunya akibat terlalu cinta kepada isterinya. Beratnya dosa
menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan
pun terkeluar daripada mulutnya. Azab yang menimpa Alqamah berakhir selepas
ibunya memaafkan kesalahan yang dilakukannya.
Kesimpulannya, anak yang menghormati dan berbuat baik kepada
ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia. Kestabilan dan kebahagiaan dalam
keluarga adalah pemangkin utama ke arah mewujudkan masyarakat penyayang.
Seterusnya masyarakat penyayang mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan
sosial dalam negara
zs
No comments:
Post a Comment