![]() |
Guru yang terbaik memberi penerangan kepada pelajar |
Ada dua perkataan yang
hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah
juga, iaituteknik dan pendekatan. Mok Soon Seng (1992) mengatakan
pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran. Iaitu cara
bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Jadi ia
merupakan satu set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan
yang sistematik dengan tujuan mecapai objektif pelajaran dalam jangka masa
pendek. Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran
dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992). Manakala
teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolan dan pelaksanaan kaedah
mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mengikut
Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah.
Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih
dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik. Sekiranya seorang guru
Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan
dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.
![]() |
Penerangan yang jelas |
Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa
kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah
dirancangkan dengan teratur. Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan
bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi,
apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada pelajar bagi
mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah. Melihat kepada
misal-misal yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng
(1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan
Mahfudh Salahuddin (1987), nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang
ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inquiri
penemuan, Forebel dan sebagainya.
Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran
yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu
pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang. Padanya, kaedah
mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah,
iaitu satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran.
Demikian juga dengan Hasan Langgulung (1981) mengatakan bahawa kaedah itu
sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi apa sahaja cara
tiandakan dan aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi faham kepada
pelajar bagi mencapai objektif pengajaran maka itu adalah kaedah,
walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah
Alwiah, Atan Long (1981) dan lain-lain.
Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua
mata pelajaran bagi semua pelajar dalam semua keadaan.
Kaedah harus berubah mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar.
Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan
keadaan masa, tempat dan pelajar.
Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi
sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:
1. kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran
2. kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang hendak dicapai
3. kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature)
pelajaran yang diajar
4. kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar
5. kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu
diaplikasi oleh guru
6. mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan
kaedah bekenaan
7. kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan
kemudahan yang ada.
An-Nashmy
(1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang
mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar, malah yang
memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. Dengan cara ini
pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan
lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru
haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan
ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.
Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi
yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping
itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi
pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran
harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran
ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:
1. Tujuan am (learning goal)
2. Objektif pelajar (specific objective)
3. Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi
aktiviti-aktiviti tertentu untuk menolong pelajar mencapai
objektif pelajaran
4.
Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar
Kata Cangelosi
(1992):
Learning goal is the overall purpose of the teaching
unit. It indicates what students are expected to learn.
Specific objective, define the learning goal. That
is a number of specific skills, abilities, and/or attitude that the student
to/or must acquire. (ms. 24)
Perrott (1986) menerangkan semua aktiviti itu dalam tiga istilah yang lebih
mendasar, iaitu:
-Planning
-Implementation
-Evaluation
Tiga perkara ini dan juga langkah-langkah yang dikemukakan sebelum ini
merupakan asas pengajaran yang berkesan, di sampiang pengetahuan yang patut ada
pada guru. Langkah-langkah ini disusun demikian rupa untuk menjadikan
pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan berkesan. Ini yang
dikatakan pengajaran yang berkesan (effective teaching).
Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat
diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di
atas. Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan ini ialah guru yang didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar
dengan penuh semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan
langkah-langkah yang tersusun dengan menggunakan BBM yang menarik dan dengan
pergerakannya yang cukup lincah. Inilah dia guru yang efektif (effective
teacher).
“…effective teacher is one who is able to demonstrate the
ability to bring about intended learning goals”. Parrott (1986:5)
ability to bring about intended learning goals”. Parrott (1986:5)
Oleh itu, guru haruslah merancang dengan cukup rapi sebelum memasuki
kelas. Ini termasuklah strategi pengajaran yang merangkumi isi kandungan,
objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian, BBM
yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan. Satu yang perlu diingatkan ialah tentang
pendidikan Islam atau penerapan nilai Islam. Ini juga harus dirancang
dengan saksama. Iaitu apa yang hendak dipesan kepada pelajar, apa
nasihat yang akan diberi, apa nilai yang hendak ditonjokan supaya pelajar ikut
dan contohi dan sebagainya. Guru harus sedar bahawa mata pelajaran
Pendidikan Islam bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi
seorang Islam yang beramal dengan ajaran Islam dengan cara yang betul.
Jadi, penekanannnya
ialah penghayatan Islam, bukannya peperiksaan. Kalau guru mengajar
terlalu terikat dengan orientasi peperiksaan, guru hanya berjaya menyampaikan
ilmu Islam, tetapi gagal memberi pendidikan Islam, iaitu gagal mendidik
anak-anak untuk menjadi orang Islam bagi memikul tugasnya sebagai hamba dan
khalifah Allah.
Demikian juga dengan istilah guru berkesan (effective
teacher). Ia bukan sahaja memberi kesan dalam bidang pelajaran yang
diajar, mudah faham dan diminati oleh pelajar, tetapi yang boleh menjadi contoh
kepada pelajar dari segala aspek personaliti, kerana personaliti guru
mempengaruhi sikap pelajar (Huitt, 1994). Ini termasuklah gaya bercakap,
kekemasan berpakaian, penghayatan nilai Islam, penjagaan masa pengajaran
(engagement time), ketepatan masa dalam setiap perjanjian, keadilan dalam
layanan dan sebagainya. Ini semua mencerminkan guru muslim (Al-Ghazali,
1988; Al-Ibrashy, 1976).
Rujukan
Abu Saleh, Muhibuddin Ahmad (1988). Asasiyat
fi turuq at-tadris
al-`ammah. Riyadh: Dar Al-Huda.
al-`ammah. Riyadh: Dar Al-Huda.
Al-Kailany, Taisir dan Iyad, Mulhim (1986). At-Taujih
al-fanny fi
usul at-tarbiyah wat-tadris. Beirut: Maktabah Lubnan.
usul at-tarbiyah wat-tadris. Beirut: Maktabah Lubnan.
An-Nashmy, Ajil Jasim (1980). Ma`alim fit-tarbiyah. Kuweit:
Makatabah Al-Manar.
Makatabah Al-Manar.
Atan Long (1981). Kaedah am mengajar. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Azman Wan Chik (1987). Kaedah
hayati amali. Kuala Lumpur:
Karya Bistari.
Karya Bistari.
Cangelosi,
James S.(1992). Systematic teaching strategy. New York:
Longman.
Longman.
Hasan Langgulung (1981). Beberapa
tinjauan dalam pendidikan Islam.
Kuala Lumpur: Pustaka Antara,.
Kuala Lumpur: Pustaka Antara,.
Mahfuzdh Shalahuddin (1987). Metodologi Pendidikan Islam. Surabaya:
Bina Ilmu.
Bina Ilmu.
Mok Soon Seng (1992). Pedagogi 2: Strategi
pengajaran pembelajaran
mikro. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
mikro. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
Parrot, Elizabeth (1986). Effective teaching.
London & New York:
Longman, 7th ed.
Longman, 7th ed.
Rashidi
Azizan dan Abdul Razak Habib (1995). Pengajaran dalam bilik
darjah, kaedah & strategi. Kajang: Masa Enterprise.
darjah, kaedah & strategi. Kajang: Masa Enterprise.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1986). Ilmu pendidikan: pedagogi. Kuala
Lumpur: Heinemann, ctk. 4
Lumpur: Heinemann, ctk. 4
No comments:
Post a Comment