Monday 30 January 2012

AKHLAK : Hormati ibu bapa amalan berterusan



Anak yang soleh punca bagi menimbulkan suasana bahagia dalam keluarga

TANGGUNGJAWAB BERTERUSAN: Islam menganjurkan anak berbuat baik kepada ibu bapa walaupun selepas mereka tiada.

ISLAM mendidik umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak kita dilahirkan begitu besar dan tidak ternilai.

Pengorbanan ibu bapa dalam melayari bahtera rumah tangga amatlah besar. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik anak sejak kecil sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak.

Sehubungan itu, anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).

FirmanNya lagi yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf ayat 15).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat Muslim)

Sebenarnya kewajipan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia saja. Bahkan walaupun ibu bapa sudah tiada, anak dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan Allah SWT. Selain itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka; membayar hutang mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Jelaslah menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama dan berterusan sepanjang masa.


Menghormati kedua ibubapa adalah satu perintah Allah s.w.t.


Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, “Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).” (Riwayat Muslim).

Berikutan peristiwa ini, Allah SWT menurunkan ayat 8 daripada surah al-Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.”

Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15).

Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa dianjurkan Islam. Hormati dan berbuat baik kepada ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam.

Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam kategori dosa besar. Jika menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?

Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW menganggap menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang menderhaka ibu bapanya. Satunya ialah peristiwa menimpa Alqamah. Alqamah seorang sahabat yang kuat beribadah kepada Allah SWT, tidak dapat melafazkan kalimah tauhid pada saat kematiannya. Alqamah pernah melakukan perbuatan mengguris hati ibunya akibat terlalu cinta kepada isterinya. Beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar daripada mulutnya. Azab yang menimpa Alqamah berakhir selepas ibunya memaafkan kesalahan yang dilakukannya.

Kesimpulannya, anak yang menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia. Kestabilan dan kebahagiaan dalam keluarga adalah pemangkin utama ke arah mewujudkan masyarakat penyayang. Seterusnya masyarakat penyayang mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial dalam negara
zs

Sunday 29 January 2012

SIRAH : Penghijrahan Rasulullah ke Madinah


Penghijrahan Rasulullah saw dan para sahabat meniti sebuah perjalanan yang amat payah dan sukar. Lantas, wajarkah kita mahukan penghijrahan yang mudah dan selesa tanpa bersusah payah...?



RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul untuk seluruh umat manusia.

Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.

Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk.

Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah.


Perjuangan Rasullallah dan para sahabat yang berhijrah ke madinah adalah sesuatu yang sangat berharga dan perlu dicontohi umat islam zaman sekarang.



Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.

Rasulullah menunggu perintah daripada Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu.

Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya: "Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah." Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah (SAW) walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya. Malam itu, sekumpulan Quraish mengepung rumah Rasulullah (SAW).

Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah (SAW). Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (as) dan bukannya Rasulullah (SAW) bangun dari katil itu.

Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah (SAW) keluar dari rumah itu. Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Abu Bakr, Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.

Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga hari mereka berada dalam gua itu. Apabila kaum Quraish menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah (SAW) tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) tidak berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang labah-labah dan sepasang burung merpati.

Allah SWT membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka, Abdullah.

Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT. Sementara itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah (SAW). Mereka menawarkan hadih kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah (SAW).

Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira. Setelah sekian lama, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan untuk masa depan. Ketika Rasulullah (SAW) dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.

Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba, sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda.

Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.


Pembinaan negara islam


Kesan daripada penghijrahan Rasulullah (SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar Islam.

Monday 23 January 2012

Ciri- ciri guru cemerlang


Guru Cemerlang mempunyai ciri-ciri yang berikut dari segi kualiti:




~Guru cemerlang~


Peribadi: Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai sahsiah yang terpuji, berketrampilan dan berpegang teguh kepada etika perguruan dan etika perkhidmatan awam serta peka dan prihatin terhadap keperluan pelajar yang dapat menjadi role model kepada warga pendidik.

Pengetahuan dan kemahiran: Guru Cemerlang ialah guru yang menguasai dan menghayati kandungan mata pelajaran atau bidang pengkhususan dan kepakarannya, menjadi pakar rujuk pengajaran dan pembelajaran, bijak mengurus masa, bahan sumber, alat pengajaran dan pembelajaran, mampu mengenal pasti keperluan dan masalah pembelajaran pelajar serta menyediakan program tindakan susulan, berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang ternologi maklumat dan komunikasi.

Hasil kerja: Guru Cemerlang ialah guru yang berupaya meningkatkan hasil pembelajaran (learning outcomes) ke arah membangunkan potensi pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Komunikasi: Guru Cemerlang ialah guru yang memiliki kemahiran komunikasi yang tinggi serta berkemampuan menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan dalam pelbagai situasi.

Potensi: Guru Cemerlang ialah guru yang berwawasan, proaktif, mempunyai inisiatif, bersifat responsif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas sebagai pendidik.

Sumbangan kepada kemajuan pendidikan negara: Guru Cemerlang ialah guru yang berupaya menjana idea baru dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing dan berkongsi idea tersebut bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

KEINDAHAN ISLAM MEMBAWA PERTUNJUK





Abu Jaafar Al-Haddad merupakan salah seorang wali Allah yang sangat terkenal. Suatu hari beliau mengikuti satu rombongan besar dalam perjalanan dari kota Basrah menuju ke kota Baghdad dengan menaiki sebuah kapal menyusuri sungai Dajlah. Di antara sekian ramai orang yang menyertai rombongan tersebut ada seorang lelaki yang menjadi perhatian Abu Jaafar Al-Haddad. Selama di dalam pelayaran, lelaki tersebut tidak pernah makan dan minum dan tidak pernah mengerjakan solat menyebabkan Abu Jaafar tertanya-tanya pada dirinya sendiri dan ingin tahu rahsia di sebalik kelakuan lelaki tersebut. Abu Jaafar Al-Haddad segera menghampirinya.

"Assalammualaikum saudara, boleh saya bertanya sedikit?" Sapa Abu Jaafar.

"Boleh, apa salahnya." Jawab lelaki itu dengan tidak mengendahkan salam Abu Jaafar Al-Haddad.

"Mengapa awak tidak pernah mengerjakan solat dan berjemaah dengan kami? " Tanya Abu Jaafar Al-Haddad.

"Saya ini bukan orang Islam," jawab lelaki itu selamba

"Jadi, engkau beragama apa?" Abu Jaafar Al-Haddad mahu kepastian.

"Saya beragama Nasrani," jawabnya.

Abu Jaafar berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, namun masih ada satu lagi persoalan dalam fikirannya iaitu bagaimanakah lelaki tersebut boleh tahan berhari-hari tidak makan dan tidak minum.

"Saya lihat awak tidak pernah makan dan minum?" Tanya Abu Jaafar.

"Saya bertawakal kepada Tuhan." Jawabnya pendek.

"Saya juga bertawakal kepada Allah," kata Abu Jaafar.

Ketika sampai ke suatu destinasi untuk berehat, Abu Jaafar masih lagi asyik berbual dengan lelaki Nasrani itu sehinggalah tiba waktu makan. Riuh rendahlah orang ramai ke sana ke mari mencari dan membuka bekalan masing-masing. Ada yang naik ke darat mencari sesuatu barang keperluan sebelum menyambung pelayaran. Tapi Abu Jaafar dan lelaki Nasrani yang masih lagi berbual-bual itu sudah berazam untuk bertawakal saja, tidak mahu berbuat demikian. Apabila orang ramai melihat kedua-dua mereka ini tidak mempunyai sebarang makanan, merekapun mengajaknya untuk makan bersama. Tapi Abu Jaafar dan lelaki itu tetap dengan pendirian mereka tidak mahu makan.

"Mari kita keluar dan berjalan di darat sana," kata Abu Jaafar kepada lelaki Nasrani itu.

"Boleh, tapi dengan syarat..." kata lelaki Nasrani.

"Apa syaratnya?" tanya Abu Jaafar.

"Jika kita masuk ke dalam kampung, tuan mesti berjanji yang tuan tidak akan masuk ke dalam masjid, dan begitu juga saya tidak akan masuk ke dalam gereja," terang lelaki Nasrani itu.

"Ya saya berjanji," kata Abu Jaafar dengan penuh yakin.


Merekapun berjalan merentas tanah yang terbentang luas sehingga senja mereka pun duduk istirehat berhampiran dengan tempat membuang sampah. Tiba-tiba datang seekor anjing hitam, mulutnya menggigit roti dan diletakkannya di hadapan lelaki Nasrani itu. Rupa-rupanya anjing itu hanya menghantar makanan untuk lelaki Nasrani yang bertawakal itu saja. Lelaki Nasrani tadi mengambil roti itu dan dimakannya dengan senang hati tanpa menoleh-noleh lagi kepada Abu Jaafar, apalagi hendak mempelawanya makan bersama. Akhirnya habis roti itu dimakan oleh lelaki Nasrani tersebut.
Setelah itu kedua-duanya meneruskan perjalanan meninjau-ninjau di kawasan perkampungan sehinggalah waktu senja. Apabila kepenatan, mereka berehat lagi. Tiba-tiba datang lagi anjing hitam itu membawa roti di mulutnya dan diletakkannya di hadapan lelaki Nasrani itu lalu dimakannya. Demikianlah yang terjadi setiap hari. Setiap kali si Nasrani mendapatkan makanan yang dihidangkan oleh seekor anjing hitam, dia memakannya sendiri tanpa menoleh dan mempelawa temannya menikmati bersama. Sementara Abu Jaafar sendiri, sibuk dengan mengerjakan solat setiap kali ketika lelaki Nasrani itu makan.
Pada hari keempat kedua-dua hamba Allah yang sudah saling kenal mengenali itu melalui sebuah perkampungan. Oleh sebab matahari sudah terbenam, mereka berhenti di suatu tempat bagi membolehkan Abu Jaafar Al-Haddad mengerjakan solat Maghrib di situ, sedang lelaki Nasrani itu memerhatikan dari jauh. Di dalam hatinya memuji Abu Jaafar Al-Haddad rajin menunaikan ibadah sembahyang walaupun mengikut perjanjian Abu Jaafar tidak boleh pergi ke masjid, namun dia tetap melakukan sembahyang.
Tiba-tiba datang seorang lelaki membawa sebuah dulang yang berisi makanan dan sebuah kendi berisi air. Dia berdiri di situ sehingga Abu Jaafar selesai solatnya. Setelah mengucapkan salam, orang itu meletakkan dulang yang dibawanya di hadapan Abu Jaafar.

"Sila bawa makanan ini kepada lelaki itu!" Kata Abu Jaafar kepada orang yang membawa dulang sambil menunjuk ke arah lelaki Nasrani tersebut.

Tanpa berkata apa-apa orang itu membawanya kepada lelaki Nasrani yang berada tidak jauh dari situ, sementara Abu Jaafar masih asyik mengerjakan solat.
Setelah Abu Jaafar selesai solat, lelaki Nasrani itu datang kepadanya dengan membawa dulang tadi.

"Wahai Abu Jaafar! Allah telah memperlihatkan kepadaku bahawa agamamu (agama Islam) adalah lebih baik daripada agamaku," kata lelaki Nasrani itu.

"Dari mana engkau mengetahui perkara ini?" Tanya Abu Jaafar Al-Haddad.

"Buktinya sudah cukup jelas. Ianya berlaku di hadapan mataku ini." Terang lelaki Nasrani itu lagi.

"Cuba awak terangkan kepada saya apa yang berlaku di hadapanmu itu?" Tanya Abu Jaafar menduga.

"Aku makan rezeki yang dihidangkan oleh seekor anjing, sedangkan aku adalah seorang manusia, berbeza dengan rezekimu dihidangkan oleh manusia. Maka dengan itulah aku tahu bahawa Islam itu adalah agama yang terbaik daripada agamaku." Kata lelaki Nasrani itu.

"Sekarang apa yang awak mahu?" Sambung Abu Jaafar.

"Tuan ! Sekarang juga dengan kerelaan hati saya sendiri, saya akan meninggalkan agama saya dan masuk agama Islam." Kata lelaki Nasrani itu.

Maka ketika itu juga lelaki Nasrani itu mengucapkan dua kalimah syahadah  di hadapan Abu Jaafar Al-Haddad Dia lalu membuang semua tanda-tanda atau lambang-lambang Nasrani yang ada pada dirinya. Abu Jaafar bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala. yang telah membuka pintu hati temannya untuk menerima Islam. 

kalimah syahadah
Semoga Allah memberikan rahmat kepada mereka yang telah mengambil Islam sebagai panduan dan pegangan hidup mereka . Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan kita kepada agama Islam dan dijadikannya kita sebagai umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.


* Dipetik dari kitab Raudhur Rayyahin Fii Hikayatus Salihin karangan Syeikh Imam Abdullah bin As’ad bin Fallah al-Yafii al-Yamany Asy-Syafie.

Tuesday 17 January 2012

Hikmah akan kematian anak ketika kecil

Anak kecil yang suci dari segala dosa

Assalamualaikum,
Saudara, ada dikalangan kita yg Islam mengalami pahit getir serta kesedihan dan kepiluan kerana kematian anak ketika dilahirkan atau ketika masih kecil dan belum baligh. Ia merupakan suatu troma bagi kedua ibu dan bapa, terutama, bagi mereka yg begitu mengharapkan mendapat zuriat terutama jika sukar bagi mereka mendapatnya. Di dalam Islam, segala sesuatu malapetaka itu ada hikmah dan kebaikan asalkan mereka yg menghadapinya tetap bersabar. Ini disebutkan dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith dari 'Imran b Nafi' hadith dari Hafas b 'Ubaidillah hadith dari Anas bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: 'Barangsiapa yg hendak mencari pahala dari tiga dari tulang rusuknya (yakni, anak zuriatnya) masuk dia ke dalam syurga.' Maka berdiri seorang prempuan, maka berkata dia: 'Atau, adakah dua?' Bersabda Rasulallah (s.a.w): 'Atau dua!'. Berkata seorang perempuan: 'Semoga mengharap aku, maka berkata aku: 'Atau satu (yakni, seorang)!' [Hadith an-Nasa'i, Kitab Jenazah]
Saudara, dalam hadith ini kita diberitahu oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa sesiapa yg kehilangan tiga orang anak kandungnya kerana meningal ketika kecil, maka, jika rida dia dan tidak meratus dia dalam kesedihaan atau kepiluan yg melampau, maka dia (kedua ibu bapa anak-anak tersebut) diberi ganjaran syurga. Begitu juga kalau meninggal dua orang anaknya. Dalam kes seorang ibu bapa yg meninggal seorang anaknya tidak disebutkan dalam hadith di atas itu, tetapi dalam hadith lain disebutkan kalau meninggal seorangpun dapat syurga.
Diriwayatkan hadith dari al-'Awam b Hausabin hadith dari Abi Muhammad, iaitu hamba merdeka kpd Omar b Khattab (r.a) hadith dari Abi 'Ubadah hadith dari Abdullah yg berkata: 'Telah bersabda Rasulallah (s.a.w):' Barangsiapa yg didahului oleh tiga orang dari anak-anaknya (yakni, meninggal lebih dahulu dari ibubapanya) belum sampai baligh (umur anak-anak tersebut), ada bagi mereka (kedua ibubapanya) menjadi pendinding yg mendindingi (kedua-dua ibubapanya) dari neraka.' Maka berkata Abu Zarr: 'Telah mendahului akandaku dua (orang anakku)!' Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): 'Kalaupun dua.' Maka berkata Ubai b Kaab, seorang ahli (pembaca) al-Quran: 'Telah mendahului akandaku seorang (anakku).' Bersabda Rasulallah (s.a.w): 'Kalaupun satu.' [Hadith Ibnu Majah, Kitab Jenazah]
Saudara, hadith yg kedua ini lebih jelas dari hadith yg pertama itu, Namun mesej yg disampaikan oleh Rasulallah (s.a.w) adalah tetap sama, iaitu, sepasangan ibubapa yg seorang atau dua orang atau tiga orang anak mereka meninggal ketika belum sampai umur baligh, mereka (yakni, anak-anak itu) jadi pendinding dari kedua ibubapanya dari api neraka di akhirat kelak. Maksudnya, kedua ibubapanya yg rida dgn kematian anak-anaknya akan mendapat balasan syurga. Diperjelaskan dalam hadith-hadith lain bahawa kanak-kanak yg belum baligh itu suci dari dosa, maka mereka secara otomatis masuk syurga. Jikapun kedua ibubapanya tak berjaya mendapat syurga, namun ketika diperintah oleh Allah (a.w) supaya mereka masuk syurga, mereka enggan selagi Allah (a.w) tidak perkenankan kedua ibubapanya dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama mereka.
Menceritakan hadith oleh Muhammad b Ismail b Ibrahim b 'Ulaiyah dan Abdul Rahman b Muhammad, berkata kedua-duanya: 'Menceritakan hadith oleh Ishaq, dia itu adalah Arzaq, hadith dari 'Auf hadith dari Muhammad hadith dari Abi Hurairah (r.a) hadith dari Nabi (s.a.w) yg bersabda: 'Tidak ada dari dua orang Islam (maksudnya, dua ibubapa) mati diantara kedua-duanya (yakni, mati sebelum mereka) tiga orang beberapa anak mereka (yg) belum sampai baligh kecuali memasukkan kedua-duanya oleh Allah (a.w) ke dalam syurga dgn kelebihan kerahmatan Allah (a.w) pada mereka (tiga anak mereka itu) ke dalam syurga.' Bersabda Nabi (s.a.w): 'Dikatakan kpd mereka masuklah kamu ke syurga.' Maka berkata mereka (i.e. anak): 'Tidak (masuk kami) sehingga masuk kedua-dua ibubapa kami (bersama-sama kami).' Maka berfirman Allah (a.w): 'masuklah kamu dan kedua ibubapa kamu.' [Hadith an-Nasa'i, Kitab Jenazah]
Saudara, hadith ini lebih jelas lagi menyebutkan bahawa anak-anak kedua-dua ibubapa itu 'protes' tak mau masuk syurga sehingga kedua ibubapa mereka bersama-sama mereka masuk syurga. Atas kerahmatan Allah (a.w), maka Allah (a.w) perkenankan permintaan anak-anak tersebut. Jelaslah, betapa untungnya ibubapa yg mengalami kematian anak-anak mereka ketika masih kecil itu.

Betapa pilunya rasa hati seorang bapa apabila mengkebumikan sendiri  anaknya. Semua itu kerana redha akan ketentuan Allah



Menceritakan hadith oleh Muhammad b Ismail b Ibrahim b 'Ulaiyah dan Abdul Rahman b Muhammad, berkata kedua-duanya: 'Menceritakan hadith oleh Ishaq, dia itu adalah Arzaq, hadith dari 'Auf hadith dari Muhammad hadith dari Abi Hurairah (r.a) hadith dari Nabi (s.a.w) yg bersabda: 'Tidak ada dari dua orang Islam (maksudnya, dua ibubapa) mati diantara kedua-duanya (yakni, mati sebelum mereka) tiga orang beberapa anak mereka (yg) belum sampai baligh kecuali memasukkan kedua-duanya oleh Allah (a.w) ke dalam syurga dgn kelebihan kerahmatan Allah (a.w) pada mereka (tiga anak mereka itu) ke dalam syurga.' Bersabda Nabi (s.a.w): 'Dikatakan kpd mereka masuklah kamu ke syurga.' Maka berkata mereka (i.e. anak): 'Tidak (masuk kami) sehingga masuk kedua-dua ibubapa kami (bersama-sama kami).' Maka berfirman Allah (a.w): 'masuklah kamu dan kedua ibubapa kamu.' [Hadith an-Nasa'i, Kitab Jenazah]
Saudara, hadith ini lebih jelas lagi menyebutkan bahawa anak-anak kedua-dua ibubapa itu 'protes' tak mau masuk syurga sehingga kedua ibubapa mereka bersama-sama mereka masuk syurga. Atas kerahmatan Allah (a.w), maka Allah (a.w) perkenankan permintaan anak-anak tersebut. Jelaslah, betapa untungnya ibubapa yg mengalami kematian anak-anak mereka ketika masih kecil itu.


Jazakallahu khairah

Monday 16 January 2012

Kaedah Pengajaran


Guru yang terbaik memberi penerangan kepada pelajar





       Ada dua perkataan yang hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah juga, iaituteknik dan pendekatan.  Mok Soon Seng (1992) mengatakan pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran.  Iaitu cara bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya.  Jadi ia merupakan satu set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mecapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek.  Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992).  Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolan dan pelaksanaan  kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah.  Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik.  Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.
                                 
Penerangan yang jelas

                                     

        Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur.  Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan.  Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah.  Melihat kepada misal-misal yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng (1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan Mahfudh Salahuddin (1987),  nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inquiri penemuan, Forebel dan sebagainya.
            Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang.  Padanya, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran.
            Demikian juga dengan Hasan Langgulung  (1981) mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan.  Jadi apa sahaja cara tiandakan dan aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran maka itu   adalah kaedah, walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah Alwiah, Atan Long (1981) dan lain-lain. 
            Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua   pelajar  dalam semua keadaan.  Kaedah harus berubah  mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar.  Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar.  
            Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:
1.  kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran
2.  kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang hendak dicapai
3.  kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature) pelajaran yang diajar
4.  kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar
5.  kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru
6.  mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah bekenaan
7.  kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yang ada.
        
           An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar  yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar.  Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama.  Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.
            Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai.  Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas.  Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:
1.  Tujuan am (learning goal)
2.  Objektif pelajar (specific objective)
3.  Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktiviti tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran
4.  Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar
 5.  Penilaian (sumative evaluation) untuk mengukur pencapaian pelajar

Kata Cangelosi (1992):
Learning goal is the overall purpose of the teaching unit.  It indicates what students are expected to learn.
Specific objective, define the learning goal.  That is a number of specific skills, abilities, and/or attitude that the student to/or must acquire. (ms. 24)
 Perrott (1986) menerangkan semua aktiviti itu dalam tiga istilah yang lebih mendasar, iaitu:
           -Planning
           -Implementation
           -Evaluation

           Tiga perkara ini dan juga langkah-langkah yang dikemukakan sebelum ini merupakan asas pengajaran yang berkesan, di sampiang pengetahuan yang patut ada pada guru.  Langkah-langkah ini disusun demikian rupa untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan berkesan.  Ini yang dikatakan pengajaran yang berkesan (effective teaching).  Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas.  Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun dengan menggunakan BBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah.  Inilah dia guru yang efektif (effective teacher).
             “…effective teacher is one who is able to demonstrate the
             ability to bring about intended learning goals”.  
Parrott (1986:5)

             Oleh itu, guru haruslah merancang dengan cukup rapi sebelum memasuki kelas.  Ini termasuklah strategi pengajaran yang merangkumi isi kandungan, objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian, BBM yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan. Satu yang perlu diingatkan ialah tentang  pendidikan Islam atau penerapan nilai Islam.  Ini juga harus dirancang dengan saksama.  Iaitu  apa yang hendak dipesan kepada pelajar, apa nasihat yang akan diberi, apa nilai yang hendak ditonjokan supaya pelajar ikut dan contohi dan sebagainya.  Guru harus sedar bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi seorang Islam yang beramal dengan ajaran Islam dengan cara yang betul. 
             Jadi, penekanannnya ialah penghayatan Islam, bukannya peperiksaan.  Kalau guru mengajar terlalu terikat dengan orientasi peperiksaan, guru hanya berjaya menyampaikan ilmu Islam, tetapi gagal memberi pendidikan Islam, iaitu gagal mendidik anak-anak untuk menjadi orang Islam bagi memikul tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah.
             Demikian juga dengan istilah guru berkesan (effective teacher).  Ia bukan sahaja memberi kesan dalam bidang pelajaran yang diajar, mudah faham dan diminati oleh pelajar, tetapi yang boleh menjadi contoh kepada pelajar dari segala aspek personaliti, kerana personaliti guru mempengaruhi sikap pelajar (Huitt, 1994).  Ini termasuklah gaya bercakap, kekemasan berpakaian, penghayatan nilai Islam, penjagaan masa pengajaran (engagement time), ketepatan masa dalam setiap perjanjian, keadilan dalam layanan dan sebagainya.  Ini semua mencerminkan guru muslim (Al-Ghazali, 1988; Al-Ibrashy, 1976).

Rujukan
 Abu Saleh, Muhibuddin Ahmad (1988).  Asasiyat fi turuq at-tadris
      al-`ammah.
 Riyadh: Dar Al-Huda.
 Al-Kailany, Taisir dan Iyad, Mulhim (1986). At-Taujih al-fanny fi
      usul at-tarbiyah
 wat-tadris. Beirut: Maktabah Lubnan.
 An-Nashmy, Ajil Jasim (1980). Ma`alim fit-tarbiyahKuweit:
      Makatabah Al-Manar.
 Atan Long (1981). Kaedah am mengajarKuala Lumpur: Fajar Bakti.
 Azman Wan Chik (1987).  Kaedah hayati amali. Kuala Lumpur:
       Karya Bistari.
 Cangelosi, James S.(1992). Systematic teaching strategy. New York:
       Longman.
 Hasan Langgulung (1981).  Beberapa tinjauan dalam pendidikan Islam.
       Kuala Lumpur: Pustaka Antara,.
 Mahfuzdh Shalahuddin (1987). Metodologi Pendidikan Islam. Surabaya:
       Bina Ilmu.
Mok Soon Seng (1992). Pedagogi 2: Strategi pengajaran pembelajaran
       mikro
.  Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
 Parrot, Elizabeth (1986). Effective teaching. London & New York:
       Longman, 7th ed.
 Rashidi Azizan dan Abdul Razak Habib (1995). Pengajaran dalam bilik
       darjah, kaedah & strategi. 
Kajang: Masa Enterprise.
 Sharifah Alwiah Alsagoff (1986). Ilmu pendidikan: pedagogi. Kuala
       Lumpur: 
Heinemann, ctk. 4

FIQAH : Rukun solat

Solat adalah tiang agama.

  1. Niat
  2. Takbiratul Ihram
  3. Berdiri tegak bagi yang berkuasa ketika solat fardhu dan bagi yang tidak berkuasa, disebabkan sakit dan sebagainya boleh melakukannya secara duduk, berbaring , telentang atau dengan isyarat.
  4. Membaca surah al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat.
  5. Rukuk dengan toma`ninah.
  6. I`tidal dengan toma`ninah
  7. Sujud dua kali dengan toma`ninah
  8. Duduk antara dua sujud dengan toma`ninah
  9. Duduk tasyahud akhir dengan toma`ninah
  10. Membaca tasyahud akhir
  11. Membaca selawat ke atas nabi pada tasyahud akhir
  12. Membaca salam yang pertama
  13. Tertib ertinya mengikut urutan dalam mengerjakan rukun-rukun tersebut.